Dorongan Projek
Laman sesawang MajalahSains yang diasaskan oleh Mohd Faizal Aziz boleh dilihat sebagai mercu tanda usaha pemasyarakatan sains di samudera maya bernama internet. Di sebalik bangun jatuh banyak portal sains yang lain, MajalahSains tetap megah mengibarkan benderanya pada ribuan pembaca yang melawatnya. Jelaslah orang ramai masih minat mengikuti berita sains.
Kewujudan MajalahSains juga memberi peluang kepada portal-portal sains lain untuk turut berkembang sama. Misalnya Apadilangit yang diasaskan oleh Muhammad Hafez Ahmat Murtza pada tahun 2016 melaksanakan pelbagai program di luar dan dalam talian. Apadilangit inilah yang menjadi wakil Malaysia untuk memberi nama bintang dan eksoplanet melalui kutipan cadangan dari pelajar-pelajar sempena sambutan 100 tahun Kesatuan Astronomi Antarabangsa, IAU.1
Saluran Ajar (walaupun bukan menumpu pada sains semata-mata) yang diasaskan oleh Muhammad Haziq Abdul Rahim pula telah meraih sehingga 270 ribu pelanggan di YouTube melangkaui Anugerah Butang Main Perak walaupun baru berumur 3 tahun! Itu adalah pencapaian yang sangat mengagumkan!
Pemasyarakatan sains, atau umumnya pemasyarakatan ilmu, sedang galak dilaksanakan oleh bicarawan-bicarawan sains yang sudah ataupun yang belum mendapat nama. Kegiatan menyampaikan sains dalam konteks popular ini seringkali menyabitkan nama Carl Sagan sebagai pengasas dan amalannya meluas sehingga muncul banyak saluran YouTube berkaitannya. Di Malaysia, ia masih di peringkat tunas.
Kemunculan golongan seperti MajalahSains, Apadilangit, dan Ajar, telah menyediakan momentum yang cukup agar tanah maya terus disuburkan dengan bahan-bahan ilmiah popular. Saya yakin, dalam sedekad dua kelak, akan muncul nama-nama baharu yang akan menyambung kerja mereka.
Sudah tiba masanya untuk kita agihkan tenaga untuk menyuburkan kandungan sains teknikal pula. Hakikatnya, usaha melahirkan peminat sains dibina atas keinginan melahirkan pakar dalam bidang ini. Maka, penghasilan bahan ilmiah popular dan bahan ilmiah teknikal perlukan keseimbangan.
Penulisan bahan rujukan teknikal sains berbahasa Melayu bukanlah sesuatu yang baharu. Antaranya ialah “Pengenalan Mekanik Kuantum” (1996) dan “Fizik Moden” (1989) oleh Prof Mohammad Yahaya; “Superkonduktor: Konvensional dan Suhu Tinggi” (1996) oleh Prof Roslan Abdul Shukor; serta “Vektor dan Tensor: Suatu Pendekatan Terkamir” (1991) dan “Tensor dan Bentuk Pembeza” (2000) oleh Prof Shaharir Mohd Zain. Prof Shaharir ada banyak lagi hasil tulisan dalam bidang Sains, Matematik dan Falsafah Sains yang tidak mampu saya senaraikan.
Entah berapa ramai lagi penulis ilmiah serta bukunya yang tidak kita ketahui. Ada eloknya jika kita geledah perpustakaan ilmiah kita untuk mengorek khazanah-khazanah ilmu ini.
Adapun semua ini, buku-buku tersebut hanya wujud di alam nyata. Dunia internet ialah satu pustaka yang luas; maka amatlah rugi jika pustaka maya ini kelompongan bahan rujukan. Jumlah bahan ilmiah dalam pustaka nyata dan pustaka maya perlukan keseimbangan.
Buat masa ini, kelihatannya seperti tiada bahan rujukan ilmiah sains berbahasa Melayu yang dijumpai di internet, terutamanya untuk pengajian tinggi. Oleh itu, projek Catatan Fizik Teori ini bertujuan untuk memulakan langkah pertama mengisi kelompongan itu.
Karya ini adalah hasil teladan daripada wargamaya seluruh dunia. Ada banyak jenis rujukan yang mereka hasilkan dan sebahagiannya (mungkin sebenarnya sebahagian besar daripadanya) bukanlah daripada kuliah atau kursus bersilibus tetapi hanya sekadar catatan mereka berkaitan ilmu yang diteroka itu.
Lagipun, amalan mengongsikan catatan kuliah sudah lama diamalkan oleh para mahasiswa tetapi selalunya ia adalah perkongsian dari senior ke junior kursus tersebut. Maka, projek ini adalah perkembangan wajar daripada amalan tersebut.