Seorang pelajar fizik akan perlu menulis tesis membuktikan dirinya mampu telaah dan bawa topik-topik berat berkait kefizikan. Hasil penat lelah ini akan dibentangka di hadapan para pensyarahnya di penghujung pengajiannya. Begitulah yang aku perlu hadapi pada awal tahun ini iaitu 4 Mac 2021.
Namun begitu, wabak penyakit KOVID-19 yang melanda dunia menyebabkan kita semua terpisah dan pertemuan secara langsung tidak digalakkan. Oleh itu, pembentangan dibuat secara dalam talian, dan masa yang biasanya diberikan 15 minit pada tahun-tahun sebelumnya kini dipendekkan menjadi 4 minit untuk tahun ini. Barangkali keputusan had 4 minit setiap pembentang itu dipengaruhi juga oleh jumlah pelajar fizik UKM seangkatan yang ada 60 lebih orang.
Cabaran 1: Apa Yang Perlu Disampaikan?
Dari satu sudut, kita ingin menyampaikan setiap satu daripada apa yang ada dalam tesis kita. Sebabnya, pembentangan tesis ini adalah seperti tesis kita juga. Kita merasakan seolah-olah hujah yang kita bawakan akan menjadi tidak lengkap sekiranya kita tidak sampaikannya serinci tesis kita. Iyalah, tesis yang kita hasilkan itu pun kita cuba tambah hujah pada bahagian-bahagian yang tidak cukup dan buang bahagian-bahagian yang tidak penting.
Dari sudut lain, kita perlu sampaikan isi-isi yang penting kerana kekangan yang ada. Jika kekangan pada tesis ialah jumlah muka suratnya, kekangan pada pembentangan pula adalah pada had masanya. Kita perlu pandai pilih dan buang isi supaya muat dalam ruang yang diberikan. Kita sentiasa bermain dengan gunting dan gam dalam mana-mana kaedah penyampaian.
Cabaran 2: Bagaimana Menyusun Pembentangan Kita?
Aliran lazim kandungan pembentangan akan mencerminkan isi kandungan tesis mereka: Objektif -> Latar Belakang -> Kaedah -> Hasil Kajian -> Kesimpulan -> Cadangan (Kalau ada). Kalau kita ikut susunan yang sama, kita perlu pendekkan semua bahagian. Ia seolah-olah kita sedang mainkan video dengan kelajuan 3 kali ganda!
Aku lihat, susunan ini adalah serpihan daripada pembentangan 15 minit yang selalu diamalkan. Kita ada masa untuk huraikan setiap satunya, maka itulah yang kita buat. Kita perlu fikirkan semula struktur pembentangan kita jika diberikan sela masa yang lebih pendek, atau barangkali juga jika sela masanya lebih panjang.
Saranan: Jadikan Hasil Kajian Sebagai Tunjang
Selepas mendengar pembentangan-pembentangan orang lain (termasuk aku), aku rasakan jawapan kepada kedua-dua cabaran ini ialah dengan meletakkan hasil kajian kita sebagai tunggak pembentangan. Maka susunan kita pun akan bertunjangkan hasil kajian sebagai watak utama.
Contohnya, katakanlah hasil kajian kita ada satu graf. Kita perlu bawa pendengar kita mengenali graf yang kita hasilkan itu. Paksi x merujuk kepada apa? Paksi y pula? Apa pula bahagian-bahagian penting yang boleh ditafsirkan dari graf? Graf yang kau hasilkan adalah berbeza dengan graf yang dihasilkan rakan kau.
Kemudian, kita perlu terangkan bagaimana kita wujudkan graf itu dan kenapa graf itu penting. Hal ini secara tidak langsung akan membawa kita ke bahagian objektif dan kaedah. Dua perkara ini sudah memakan masa. Namun, disebabkan tunjang kita adalah hasil kajian, masa yang diberikan akan menumpu pada hasil kajian kita berbanding objektif atau kaedah.
Yang itu baru ambil kira satu graf. Bagaimana pula kalau ada lagi beberapa dapatan lain? Jaranglah ada pembentangan tesis yang hanya akan ada satu data sahaja yang perlu ditonjolkan. Selalunya akan ada beberapa lagi graf atau jadual.
Kalau kita ada tiga graf, maka cuba bahagikan masa ikut tiga hasil kajian tersebut, bukan ikut bab tesis. Kemudian, susunlah pembentangan kita ikut bagaimana kita ingin menceritakan hasil kajian tersebut. Boleh jadi ia disusun begini: Objektif -> Hasil Kajian -> Kaedah, atau Objektif -> Kaedah -> Hasil Kajian, atau Objektif -> Hasil Kajian <-(berselang-seli)-> Kaedah
Saranan: Kita Tak Perlu Bahagian Kesimpulan
Seperti yang aku sebutkan tadi, susunan yang mengikut isi kandungan tesis itu boleh dibuat kalau masa pembentangannya panjang. Masa yang pendek memerlukan susunan sendiri. Begitulah juga, ia tidak perlu bahagian kesimpulan.
Kesimpulan ialah penjelasan pendek yang cuba merumuskan satu penulisan. Antara komponen penting bahagian kesimpulan ialah ia hanya membentangkan isi yang penting, bukan isi sokongan. Itulah yang telah kita buat bila kita sedang memilih isi untuk dibentangkan dalam masa 4 minit: kita simpulkan isi tesis kita.
Oleh itu, bahagian kesimpulan tidak perlu ada maka kita boleh gunakan masa pendek kita untuk bentangkan dapatan kajian sehabis baik. Perkara-perkara lain yang ingin ditambah perlu menyokong dapatan kajian tersebut.