Wahai Dr Maszlee, Kekalkan Nama PERMATA

Surat terbuka menentang keputusan penjenamaan semula alma mater saya

⚛ PERMATApintar
🎓 Pendidikan
Author

Murthadza Aznam

Published

April 16, 2019

Ke hadapan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik,

Merujuk kepada laporan Berita Harian pada tarikh 15 April 2019, bertajuk “PERMATA Dijenamakan Semula dengan Nama Baharu Genius”, izinkan saya membantah keputusan tuan menukar nama dari PERMATA ke Genius. Asas bantahan saya ini boleh dibahagikan kepada tiga inti utama.

PERTAMA

Pertama, perkataan Genius tidak akan mampu menggambarkan inti Program PERMATA. Perkataan genius merujuk kepada seseorang yang mempunyai keupayaan intelek luar biasa seperti tokoh-tokoh terkemuka Albert Einstein ataupun Stephen Hawking. Program dengan nama Genius ini seolah-olah ingin melahirkan manusia-manusia sebegitu. Hal ini jauh menyeleweng daripada tujuan utama Program PERMATA.

Perkataan “permata” dalam Bahasa Melayu merujuk kepada batu yang berharga seperti intan atau berlian. Kebanyakan batu-batu ini adalah sejenis hablur [crystal]. Jika tuan menteri ingin tahu, dalam Sains Bahan, hablur memerlukan keadaan yang sangat khusus untuk dibentuk. Jika proses pembentukan ini tidak dijaga dengan rapi, berlian yang diidamkan tidak terhasil malah mungkin arang pula yang timbul. Hal ini selari dengan intipati Program PERMATA.

Program PERMATA bukan semata-mata tentang melatih anak-anak genius. Golongan yang tidak tahu-menahu hal PERMATA akan selalu beranggapan bahawa PERMATA = PERMATApintar. Saya harap tuan menteri tidak melakukan kesilapan yang sama dengan golongan ini.

Secara asasnya, program PERMATA ingin menyediakan program yang sesuai untuk anak-anak berkeperluan khusus. Oleh sebab itulah munculnya 8 inisiatif berbeza bawah payung PERMATA untuk memenuhi keperluan-keperluan berbeza agar menghasilkan permata yang boleh menyumbang kepada masyarakat.

Jika keperluan khusus ini tidak dipenuhi, dibimbangi perkembangan mereka terencat. Saya yakin Dr Maszlee pernah mendengar akan kisah kanak-kanak terkehadapan yang akhirnya tergelincir tidak tahu hala tuju. Itu contoh anak-anak berkeperluan khusus yang keperluannya tidak dipenuhi.

PERMATApintar hanyalah salah satu nama dalam naungan PERMATA. Tujuannya ialah untuk memenuhi keperluan anak-anak terkehadapan atau lebih tepatnya gifted and talented. Perkataan pintar di sini merujuk kepada giftedness, bukan ke-genius-an. Memang istilah ini yang digunakan oleh pakar dalam makalah-makalah mereka: pintar dan berbakat.

Nama-nama lain bawah nama PERMATA ialah PERMATA Kurnia yang ingin memenuhi keperluan anak-anak istimewa seperti kanak-kanak autistik. PERKASA Remaja pula ingin memenuhi keperluan remaja yang berisiko. PERMATA Seni ingin memenuhi keperluan anak-anak yang berbakat dalam seni persembahan. Beberapa contoh ini sudah cukup untuk menggambarkan kepelbagaian keperluan khusus yang juga setanding dengan kepelbagaian batu permata seperti batu zamrud, batu nilam, berlian, dan batu kecubung.

Seperti slogannya, “Setiap Anak PERMATA Negara: Every Child is Precious”, anak-anak PERMATA ini berharga dan memerlukan perhatian khusus yang sepatutnya. Berharga mempunyai banyak aspek sama seperti banyaknya jenis kelebihan anak-anak istimewa yang berbeza. Genius tidak akan mampu menggambarkan semua ini.

KEDUA

Kedua, nama PERMATA memang sudah sedia ada berdaya saing dan nama Genius tidak akan mengubah hakikat itu. Saya andaikan maksud daya saing yang tuan menteri maksudkan dalam laporan itu adalah kebolehan untuk bersaing di pentas antarabangsa. Saya kira daya saing di pentas alam pekerjaan setempat adalah tidak kena dengan konteks keputusan Dr.

Tahukah tuan menteri bahawa sepanjang hampir sedekad penubuhan Pusat PERMATApintar Negara, pusat ini sudah menempa nama di pentas antarabangsa? Berduyun-duyun pelajar Kazakhstan dihantar ke Pusat PERMATApintar Negara selama berminggu-minggu dalam program pertukaran pelajar. Begitu juga berduyun-duyun pelajar PERMATApintar dihantar ke Kazakhstan atas alasan yang sama. Amalan ini berterusan tahun demi tahun.

Selain itu, Pusat PERMATApintar Negara juga ada jalinkan hubungan bersama Sekolah Tinggi Shibata di Jepun dalam program pertukaran pembentangan hasil kajian. Sekolah Tinggi Shibata ialah sejenis Super Science High School kerajaan Jepun yang melatih setiap pelajarnya menulis kajian saintifik.

Pusat PERMATApintar Negara yang juga melatih setiap pelajarnya menulis kajian saintifik bersetuju untuk menukar hasil kajian para pelajar pada forum masing-masing, iaitu Forum Education for Sustainable Development (ESD) di Sekolah Tinggi Shibata dan Persidangan International Future Scientist Conference (iFSC) di Pusat PERMATApintar Negara. Pertukaran ini masih lagi berjalan setiap tahun.

Sementara itu, para penerima Anugerah Nobel dijemput sebagai tenaga pengajar untuk program latihan minda saintis bertaraf antarabangsa, Nobelist Mindset Workshop. Universiti-universiti luar negara pula sudah menerima sijil Pusat PERMATApintar Negara sebagai layak untuk memasuki universiti mereka. Malah, pengarah Program PERMATApintar, Prof Dato Dr Noriah Mohd Ishak sendiri berkata yang Pusat PERMATApintar Negara sudah diiktiraf sebagai salah satu sekolah untuk anak-anak gifted yang terbaik di dunia!

Namun begitu, harus difahami sekali lagi Program PERMATA bukanlah terhad kepada PERMATApintar sahaja. Ia merangkumi 8 inisiatif berbeza: PERMATA Negara, PERMATApintar, PERMATA Seni, PERMATA Insan, PERKASA Remaja, PERMATA Kurnia, Hospital Kanak-Kanak PERMATA, dan PERMATA STEM Talent.

Pengalaman saya yang sekangkang kera ini membenarkan saya bercakap tentang perkembangan PERMATApintar sahaja. Walaubagaimanapun, contoh-contoh yang saya sebutkan tadi cukup sebagai bukti bahawa nama PERMATA mempunyai daya saing yang kuat. Hanya usaha sahaja yang menentukan.

KETIGA

Ketiga, nama Genius tidak akan menjadikan program ini LEBIH berdaya saing walau secebis pun. Sewaktu tuan menteri berkata nama Genius ini akan menjadikannya lebih berdaya saing, saya hairan: bagaimana Dr Maszlee boleh berfikir sedemikian? Adakah ia kerana nama-nama berbahasa Inggeris difikirkan lebih mudah untuk menembusi pasaran antarabangsa? Jika begitu pemikirannya, ia hanyalah ilusi semata-mata.

Ada banyak contoh barang-barang dengan unsur nama tempatan yang dipasarkan di pentas antarabangsa. Satu contoh yang kita semua kenal dan sayangi ialah RotiBoy yang dimulakan di Pulau Pinang pada tahun 1998. Kini, ia sudah bersepah di Korea, China, Thailand, Dubai, Arab Saudi, dan Indonesia. Upin & Ipin dan Boboiboy juga yang penuh dengan unsur ke-Malaysia-an dapat menembusi pasaran antarabangsa. Pengguna antarabangsa mencari kualiti pada isi, bukan keputihan pada tanda nama.

Nukilan pada isi kedua saya juga sudah menjadi bukti kebolehsaingan nama tempatan PERMATA di pentas antarabangsa. Nama tempatan bukanlah penghalang untuk mendapat tempat di mata dunia. Nama putih pula tidak memberi kesan pada kejayaan ini.

Lagipun, bila dikatakan bahawa nama sesuatu itu “lebih berdaya saing”, apa kayu ukur yang boleh membandingkan lebih atau kurang?

Malah, jika tuan menteri berminat untuk membanggakan Malaysia, lebih baik tuan gunakan nama tempatan. Nama tempatan lebih mudah dikenali dan mudah dibanggakan. Contohnya begini, jika saya katakan bahawa siri animasi Chuck Chicken dan Harrie and Bunnie ditayangkan di Disney Channel, apa perasaan kita?

Hati kecil kita pasti berkata, “Biasalah tu Disney Channel tayang cerita-cerita orang putih”. Bagaimana pula jika saya memaklumkan bahawa Bola Kampung itu ditayangkan di Disney Channel? Mestilah kita rasa bangga kartun tempatan disiarkan di nama antarabangsa seperti Disney.

Sekali baca sahaja kita sudah tahu ia adalah kartun tempatan. Padahal, sebenarnya ketiga-tiga itu dihasilkan oleh Studio Animasia, iaitu sebuah studio di Malaysia! Namun, Bola Kampung masih lagi lebih membanggakan berbanding dua kartun tadi walaupun selepas mengetahui hakikat ini.

Nampak atau tidak bagaimana nama tempatan itu akan membanggakan rakyat kita? Nama PERMATA akan dengan serta merta membanjiri rakyat dengan rasa bangga apabila tahu ia berada di pentas antarabangsa. Rakyat akan susah berbangga dengan nama putih seperti Genius.

Maka, saya nasihatkan usahlah bermain dengan jenama. Saya sedar dalam laporan itu ada mencatatkan bahawa tuan menteri mempunyai rancangan lain yang saya yakin bermanfaat selain penjenamaan semula.

Namun, penjenamaan semula ini tiada manfaat dan hanya akan membazir duit. Rancangan-rancangan lain itu tidak akan tergendala pun jika nama PERMATA dikekalkan. Nama PERMATA akan kekal berdaya saing dan terus bersemangat menjadi pusat perkembangan anak-anak berkeperluan khusus yang terbaik.

Sekian, Alumni Program PERMATApintar Negara.