Masalah dengan Steins;Gate

Makise Kurisu tidak patut dijemput berceramah pasal mesin masa

πŸ“Ί Teroka Karya
Author

Murthadza Aznam

Published

September 29, 2017

Aku tak nafikan, sebagai peminat Fizik dan teori pengembaraan masa John Titor, anime ni mantap! Teori dia sangat konsisten dengan kisah John Titor.

Namun, dalam kegirangan fanboying cerita ni, timbul satu masalah ataupun lebih tepat lagi, persoalan.

Ceramah Makise Kurisu

Antara babak awal yang dipersembahkan kepada penonton adalah babak Okabe Rintarou datang mendengar ceramah Makise Kurisu, seorang genius muda yang sebaya dengan Rintarou.

Makise Kurisu menerbitkan makalah dalam jurnal Sciencey lalu mendapat perhatian media. Tiada pula dijelaskan apa tajuk makalah yang ditulis.

Lalu dalam ceramahnya mengenai pengembaraan masa, Kurisu ada nyatakan bahawa β€œTajuk ini berlainan daripada makalah dalam Majalah Sciencey, tapi saya akan cuba yang terbaik.”

Jelas disini bahawa Kurisu bukannya pakar dalam bidang pengembaraan masa tapi masih lagi dijemput untuk memberi ceramah di luar bidangnya.

Dalam Visual Novel (VN), jelas ditunjukkan bahawa makalah yang ditulis oleh Kurisu adalah berkenaan Memori Manusia (iaitu lebih dekat dgn Neurologi)!

Maka, apa yang sebenarnya berlaku di sini? Kenapa Kurisu, yang menyelidik berkaitan Neurologi, dijemput untuk berceramah mengenai Fizik Relativistik?

Tidak mungkin ini adalah ralat dalam adaptasi kerana kedua-dua anime dan VN mempunyai jalan cerita yang sama! Kedua-duanya adalah canon.

Malah, dalam VN juga Kurisu menyatakan kata-kata yang sama seperti dalam anime.

Benar, ilmu Fizik Teori yang dikemukan olehnya adalah tulen kerana tulisannya berkenaan pengembaraan masa diplagiat oleh bapaknya sendiri! Maknanya dia sememangnya seorang pakar dalam pengembaraan masa.

Namun, secara protokol ilmiahnya, dia bukanlah pakar kerana tiada makalah berkenaan hal tersebut yang termaktub nama β€œMAKISE KURISU” sebagai penulisnya. Ingat, bapaknya, Dr Nakabachi memplagiat tulisan Kurisu!

Malah, semua orang percaya bahawa makalah plagiatnya adalah milik Dr Nakabachi dan tiada yg lainnya.

Maka jika benar pihak penganjur ingin menjemput Kurisu sebagai penceramah jemputan, sepatutnya dia berkongsi berkenaan Memori Manusia sebagaimana makalahnya bukannya Pengembaraan Masa yang bagaikan langit dan bumi.

Cerminan Diri

Adakah ini cerminan diri kita (manusia) yang sewenang-wenangnya menjemput penceramah yang di luar bidangnya?

Teringat saya dengan program Halaqah di TV3. Seorang Ustaz yang tidak saya tahu latar belakangnya, bercakap berkenaan hari kiamat. Jika dia seorang yang bertauliah dalam hal keagamaan maka tajuk dia memang kena dengan landasan.

Namun, dia bercakap tentang Plat Tektonik (Geologi) dan cuba dikaitkan dengan hari kehancuran. Lalu menyimpang pula ke arah Meteorologi dan bagaimana HAARP mengawal cuaca dan gegaran bumi! Ah sudah, masuk pula Teori Konspirasi.

Maka, jemputlah mereka yang pakar dalam bidang, janganlah jemput mereka yang penuh dengan karut-marut.

Sekian.